Ustaz Lanun bangunkan tanah wakaf bagi tujuan sebar didikan
agama kepada masyarakat setempat
Bina madrasah bantu remaja mendalami ilmu agama
REMBAU - Setelah menerima amanah seorang penduduk yang sudah
meninggal dunia untuk membangunkan tanah seluas 1.6 hektar bagi tujuan
pembangunan agama, sebuah Madrasah Az Zakirin dibina di Kampung Padang Besar,
Bongek sejak 2007, oleh individu dikenali Ustaz Lanun.
Ustaz Lanun atau nama sebenarnya Zakaria Talib, 46, berkata,
usaha itu bukanlah suatu yang mudah lebih- lebih lagi dia tidak mempunyai modal
besar, justeru bergotong-royong bersama tiga rakan membina surau di atas tanah
wakaf berkenaan terlebih dahulu.
“Tak ada jentera, hanya tulang empat kerat kami sahaja gali
lubang guna tangan serta cangkul.
Dua tahun juga kami ambil masa untuk dirikan surau kecil
bagi membolehkan mana-mana individu belajar al- Quran di sini.
“Dari surau kecil ini kami mula terima kedatangan remaja ke
sini untuk mempelajari Islam.
Bermula dengan hanya empat pelajar kini madrasah ini
menempatkan 40 pelajar berusia 12 hingga 36 tahun, memulakan aktiviti pengajian
sejak sebelum Subuh lagi,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Madrasah Az
Zakirin di Kampung Padang Besar, Bongek, kelmarin.
Menurutnya pelajar aliran sains Sekolah Menengah Kebangsaan
Datuk Abdullah (Semenda) Astana Raja ini, sebaik selesai menduduki peperiksaan
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 1987, dia mula berhijrah ke Kelantan bagi
mempelajari agama dengan lebih mendalam lagi.
“Kemudiannya saya teruskan pengajian sekolah pondok di Bukit
Mertajam, Pulau Pinang dan di Seliau, Rantau, sebelum nekad ke Thailand untuk
meneruskan pengajian.
Hampir lapan tahun juga saya dalami pengajian Islam di
sekolah pondok iaitu dari 1987 hingga 1995 dan pulang ke kampung asal saya di
Kampung Air Melintang, Astana Raja.
“Sebaik pulang ke sini, saya bertugas sebagai guru tahmir
dan ajar agama di masjid-masjid khususnya di daerah ini.
Malah, saya juga beri ceramah dan kaunseling di sekolah di
serata negeri ini khususnya di Rembau.
Hantar skrip dakwah agama ke Majalah Lanun
Ustaz Lanun berkata, pada 1997 dia cuba menghantar skrip
dakwah agama yang mula ditulisnya sejak belajar di sekolah pondok ke penerbit
Majalah Lanun di Kuala Lumpur.
Menurutnya, pihak penerbitan melantiknya sebagai penasihat
majalah dan setiap seminggu sekali dia akan pergi ke Kuala Lumpur menaiki bas
untuk mengajar kelas agama kepada semua kakitangan Majalah Lanun berkenaan.
“Tak sangka pula selama dua tahun saya berulang-alik ke
penerbitan majalah itu, terus masyarakat setempat panggil saya Ustaz Lanun.
Sehinggalah ke hari ini saya masih dikenali dengan nama yang
sama serta meneruskan tugas dakwah di daerah sendiri," katanya.
Ustaz Lanun berkata, dia turut membuka Asrama Kasih Sayang
sebelum mendirikan madrasah dengan menyewa rumah di Kampung Chenong, Chengkau,
dan penghuninya 11 remaja yang pada masa itu terlalu terpengaruh dengan budaya
skinhead.
Menurutnya, dia menguruskan asrama berkenaan selama hampir
dua tahun, namun akhirnya terpaksa menutup asrama itu kerana tidak mencapai
sasaran. “Pagi saya hantar kumpulan remaja ini ke sekolah, malamnya mereka belajar
agama, hafal al-Quran dan kitab.
Bagaimanapun, dalam tempoh dua tahun agak sukar golongan ini
untuk pulih sepenuhnya memandangkan mereka masih bercampur dengan rakan-rakan
mereka yang lain.
“Saya tutup asrama ini dan selepas dua tahun ada penduduk
yang menunaikan hajat arwah bapanya, Allahyarham Haji Sharif Zakaria untuk
mewakafkan tanah bagi tujuan pembangunan agama Islam.
Menurutnya yang juga dikenali dengan nama pena Ibnu Zakirin,
dia menerima amanah berkenaan dan kini sedang membantu kesemua 40 pelajar yang
ada antaranya dari Pulau Pinang, Melaka, Johor dan Selangor dalam mempelajari
agama Islam.
Al-Quran penyembuh terbaik Ustaz Lanun berkata, kebanyakan
yang datang ke madrasah merupakan golongan remaja yang ingin berubah serta
memulihkan ketagihan sosial mereka.
Menurutnya, dia tidak mengamalkan apa-apa rawatan pemulihan,
namun kesemua pelajar yang datang diwajibkan bangun sebelum Subuh, solat tepat
pada masanya, membaca dan menghafal al- Quran, mempelajari kitab dan juga
kemahiran hidup.
“Ada yang tiga hari sudah pulih, namun ada juga yang ambil
masa hingga 40 hari. Bagi saya, kaedah pengajaran saya adalah dengan mendekati
al-Quran, baca dan hayati apa yang terkandung di dalamnya... itulah penyembuh terbaik.
“Walaupun begitu, saya hanya terima pelajar yang datang
kerana niatnya ingin berubah dan bukannya atas paksaan ibu bapa. Jika ada ibu
bapa yang datang hanya untuk melepaskan tanggungjawab mereka ke atas anak-anak mereka,
saya akan tolak dengan baik.
Ustaz Lanun berkata, pada hari hari tertentu, ada sukarelawan
yang datang dari Seremban dan juga penduduk setempat yang akan datang ke
madrasah bagi mengajar mata pelajaran seperti Sains dan Bahasa Inggeris.
Pertanian, ternakan tampung belanja Aktiviti pertanian dan
penternakan diusahakan, antara mata pencarian yang digunakan bagi menampung
belanja keperluan madrasah.
Ustaz Lanun berkata, pihaknya ada menyewa tanah penduduk
bagi mengusahakan tanaman pisang bagi perbelanjaan madrasah berkenaan.
“Ternakan seperti ayam, arnab, kambing dan lain-lain lagi
pula adalah bagi makanan kami di sini.
Malah, saya juga terbitkan buku serta komik kecil sebanyak
40 jilid untuk dijual bagi menjana pendapatan madrasah ini.
“Belum pernah lagi saya hantar surat rasmi meminta bantuan
tetapi atas bantuan mulut ke mulut, ada pihak yang datang hulurkan bantuan buat
kami di madrasah ini.
Semuanya saya terima bagi pembangunan madrasah ini.
Ustaz Lanun berkata, dia juga kini merancang menambah blok
asrama sedia ada bagi menempatkan pelajar yang terdiri daripada warga emas
pula.
“Ada banyak pihak yang datang bertanya kepada saya tempat
belajar orang tua ada tak.
Malah, ada juga orang yang sudah berusia nak tinggal di sini
bagi belajar agama tapi saya katakan pada mereka saya tak mampu sediakan
kemudahan itu lagi.
“Bagaimanapun, segala perancangan baik ini akan saya
usahakan juga bagi membantu mereka dalami ajaran agama Islam,” katanya.
Sehubungan itu, individu yang berminat untuk menyampaikan
bantuan pembangunan Madrasah Az Zakirin boleh menghulurkan sumbangan ke nombor
akaun Maybank 5622-4550-4173 atas nama Az Zaakiriin Global Ventures.
- SINAR HARIAN 17 Januari 2017