Tuesday, September 12, 2017

Bina madrasah bantu remaja mendalami ilmu agama





Ustaz Lanun bangunkan tanah wakaf bagi tujuan sebar didikan agama kepada masyarakat setempat

Bina madrasah bantu remaja mendalami ilmu agama

REMBAU - Setelah menerima amanah seorang penduduk yang sudah meninggal dunia untuk membangunkan tanah seluas 1.6 hektar bagi tujuan pembangunan agama, sebuah Madrasah Az Zakirin dibina di Kampung Padang Besar, Bongek sejak 2007, oleh individu dikenali Ustaz Lanun.

Ustaz Lanun atau nama sebenarnya Zakaria Talib, 46, berkata, usaha itu bukanlah suatu yang mudah lebih- lebih lagi dia tidak mempunyai modal besar, justeru bergotong-royong bersama tiga rakan membina surau di atas tanah wakaf berkenaan terlebih dahulu.

“Tak ada jentera, hanya tulang empat kerat kami sahaja gali lubang guna tangan serta cangkul.

Dua tahun juga kami ambil masa untuk dirikan surau kecil bagi membolehkan mana-mana individu belajar al- Quran di sini.

“Dari surau kecil ini kami mula terima kedatangan remaja ke sini untuk mempelajari Islam.

Bermula dengan hanya empat pelajar kini madrasah ini menempatkan 40 pelajar berusia 12 hingga 36 tahun, memulakan aktiviti pengajian sejak sebelum Subuh lagi,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Madrasah Az Zakirin di Kampung Padang Besar, Bongek, kelmarin.

Menurutnya pelajar aliran sains Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Abdullah (Semenda) Astana Raja ini, sebaik selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 1987, dia mula berhijrah ke Kelantan bagi mempelajari agama dengan lebih mendalam lagi.

“Kemudiannya saya teruskan pengajian sekolah pondok di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan di Seliau, Rantau, sebelum nekad ke Thailand untuk meneruskan pengajian.

Hampir lapan tahun juga saya dalami pengajian Islam di sekolah pondok iaitu dari 1987 hingga 1995 dan pulang ke kampung asal saya di Kampung Air Melintang, Astana Raja.

“Sebaik pulang ke sini, saya bertugas sebagai guru tahmir dan ajar agama di masjid-masjid khususnya di daerah ini.

Malah, saya juga beri ceramah dan kaunseling di sekolah di serata negeri ini khususnya di Rembau.

Hantar skrip dakwah agama ke Majalah Lanun

Ustaz Lanun berkata, pada 1997 dia cuba menghantar skrip dakwah agama yang mula ditulisnya sejak belajar di sekolah pondok ke penerbit Majalah Lanun di Kuala Lumpur.

Menurutnya, pihak penerbitan melantiknya sebagai penasihat majalah dan setiap seminggu sekali dia akan pergi ke Kuala Lumpur menaiki bas untuk mengajar kelas agama kepada semua kakitangan Majalah Lanun berkenaan.

“Tak sangka pula selama dua tahun saya berulang-alik ke penerbitan majalah itu, terus masyarakat setempat panggil saya Ustaz Lanun.

Sehinggalah ke hari ini saya masih dikenali dengan nama yang sama serta meneruskan tugas dakwah di daerah sendiri," katanya.

Ustaz Lanun berkata, dia turut membuka Asrama Kasih Sayang sebelum mendirikan madrasah dengan menyewa rumah di Kampung Chenong, Chengkau, dan penghuninya 11 remaja yang pada masa itu terlalu terpengaruh dengan budaya skinhead.

Menurutnya, dia menguruskan asrama berkenaan selama hampir dua tahun, namun akhirnya terpaksa menutup asrama itu kerana tidak mencapai sasaran. “Pagi saya hantar kumpulan remaja ini ke sekolah, malamnya mereka belajar agama, hafal al-Quran dan kitab.

Bagaimanapun, dalam tempoh dua tahun agak sukar golongan ini untuk pulih sepenuhnya memandangkan mereka masih bercampur dengan rakan-rakan mereka yang lain.

“Saya tutup asrama ini dan selepas dua tahun ada penduduk yang menunaikan hajat arwah bapanya, Allahyarham Haji Sharif Zakaria untuk mewakafkan tanah bagi tujuan pembangunan agama Islam.

Menurutnya yang juga dikenali dengan nama pena Ibnu Zakirin, dia menerima amanah berkenaan dan kini sedang membantu kesemua 40 pelajar yang ada antaranya dari Pulau Pinang, Melaka, Johor dan Selangor dalam mempelajari agama Islam.

Al-Quran penyembuh terbaik Ustaz Lanun berkata, kebanyakan yang datang ke madrasah merupakan golongan remaja yang ingin berubah serta memulihkan ketagihan sosial mereka.

Menurutnya, dia tidak mengamalkan apa-apa rawatan pemulihan, namun kesemua pelajar yang datang diwajibkan bangun sebelum Subuh, solat tepat pada masanya, membaca dan menghafal al- Quran, mempelajari kitab dan juga kemahiran hidup.

“Ada yang tiga hari sudah pulih, namun ada juga yang ambil masa hingga 40 hari. Bagi saya, kaedah pengajaran saya adalah dengan mendekati al-Quran, baca dan hayati apa yang terkandung di dalamnya... itulah penyembuh terbaik.

“Walaupun begitu, saya hanya terima pelajar yang datang kerana niatnya ingin berubah dan bukannya atas paksaan ibu bapa. Jika ada ibu bapa yang datang hanya untuk melepaskan tanggungjawab mereka ke atas anak-anak mereka, saya akan tolak dengan baik.

Ustaz Lanun berkata, pada hari hari tertentu, ada sukarelawan yang datang dari Seremban dan juga penduduk setempat yang akan datang ke madrasah bagi mengajar mata pelajaran seperti Sains dan Bahasa Inggeris.

Pertanian, ternakan tampung belanja Aktiviti pertanian dan penternakan diusahakan, antara mata pencarian yang digunakan bagi menampung belanja keperluan madrasah.

Ustaz Lanun berkata, pihaknya ada menyewa tanah penduduk bagi mengusahakan tanaman pisang bagi perbelanjaan madrasah berkenaan.

“Ternakan seperti ayam, arnab, kambing dan lain-lain lagi pula adalah bagi makanan kami di sini.

Malah, saya juga terbitkan buku serta komik kecil sebanyak 40 jilid untuk dijual bagi menjana pendapatan madrasah ini.

“Belum pernah lagi saya hantar surat rasmi meminta bantuan tetapi atas bantuan mulut ke mulut, ada pihak yang datang hulurkan bantuan buat kami di madrasah ini.

Semuanya saya terima bagi pembangunan madrasah ini.

Ustaz Lanun berkata, dia juga kini merancang menambah blok asrama sedia ada bagi menempatkan pelajar yang terdiri daripada warga emas pula.

“Ada banyak pihak yang datang bertanya kepada saya tempat belajar orang tua ada tak.

Malah, ada juga orang yang sudah berusia nak tinggal di sini bagi belajar agama tapi saya katakan pada mereka saya tak mampu sediakan kemudahan itu lagi.

“Bagaimanapun, segala perancangan baik ini akan saya usahakan juga bagi membantu mereka dalami ajaran agama Islam,” katanya.

Sehubungan itu, individu yang berminat untuk menyampaikan bantuan pembangunan Madrasah Az Zakirin boleh menghulurkan sumbangan ke nombor akaun Maybank 5622-4550-4173 atas nama Az Zaakiriin Global Ventures.

- SINAR HARIAN 17 Januari 2017 

No comments:

Post a Comment